Rabu, Oktober 13, 2010

Puteri Santubong



Kisah sejarah Puteri Santubong seringkali didengar malah ada yang menganggap ia adalah hanya kisah dongengan semata. Kisah ini mempunyai beberapa versi yang berbeza namun kesahihan sumber cerita ini masih kabur kerana tidak tercatat dalam manuskrip atau catatan sejarah Malaysia. Yang ada hanyalah cerita mulut ke mulut dari orang-orang tua.

Versi 1

Al kisahnya Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang adalah dua puteri Sultan Brunei yang telah melarikan diri bersama tujuh orang saudara lelaki mereka selepas ayahanda mereka, Sultan Brunei dibunuh di dalam satu komplot rampasan kuasa. Memandangkan tujuh putera ini ingin melarikan diri ke Tanah Melayu, mereka perlu menyeberangi Laut China Selatan maka mereka telah bersepakat meninggalkan kedua-dua saudara mereka di Bukit Santubong.



Penduduk kampung berasa hairan dengan kehadiran kedua-dua puteri tersebut kerana mereka tidak pernah melihat kedua-duanya ditambah pula dengan kecantikan mereka yang luar biasa. Mereka dianggap sebagai puteri yang turun dari kayangan. Penduduk kampung dan puteri-puteri ini hidup aman damai sehinggalah kedua-dua mereka bergaduh dan berbunuh kerana menganggap seorang lebih cantik dari seorang lagi. Oleh itu, timbullah legenda Gunung Santubong dan Gunung Sejinjang.


Kembali kepada tujuh bersaudara itu pula, mereka telah meneruskan pelayaran mereka sehinggalah mereka sampai di Pulau Pinang menaiki burung bayan. Setelah mendarat mereka mencari tempat tinggal. Semasa di Pulau Pinang burung bayan yang ditunggang telah terlepas maka dari situlah Bayan Lepas di Pulau Pinang mendapat namanya. Difahamkan carta organisasi salasilah keturunan ini masih wujud di sana.


Versi 2 

 Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang merupakan 2 puteri dari Kayangan. Ayahandanya raja Kayangan telah menurunkan titah agar kedua-dua puteri tersebut turun ke bumi untuk menyelesaikan pertelingkahan dua kampung. Namun sebelum mereka turun ke bumi, ayahandanya berpesan sekiranya terjadi pertelingkahan kedua-dua puteri maka mereka akan terkena sumpahan kayangan dan tinggallah mereka di bumi. Pada asalnya kedua-dua puteri tersebut merupakan sepupu. Ketika turunnya kedua-dua puteri ke bumi. Penduduk kampung kehairanan melihat cahaya terang laksana mentari menyusuri di dua buah kampung. Kejelitaan dan sifat kewanitaan terserlah diraut wajah kedua-dua puteri.
 
Puteri Santubong menetap di sebuah kampung Pantai Biru dan mengajar menenun kain manakala Puteri Sejinjang di kampung Pasir Kuning mengajar mengasing sekam padi dengan aluk. Dengan kemahiran ini kedua-dua kampung tersebut menjadi aman tanpa pertelingkahan. Selama ini pertelingkahan terjadi kerana sistem pertukaran barang antara kampung tidak setara dengan barangan yang dibawa.
 
Kemakmuran di kedua-dua kampung tidak berkekalan. Kehadiran Putera Serapi datang berkunjung untuk melihat kehebatan dan kejelitaan kedua-dua puteri. Mengetahui Putera Serapi hendak datang mengadap kedua-dua puteri berhias-hias untuk mengadap Putera Serapi. Kedua-dua Puteri berasa sangat kagum dan tertawan dengan kekacakan Putera Serapi, yang sasa dan terserlah kewibawaannya, begitu juga Putera Serapi yang sudah terpikat dengan kejelitaan dan keayuan kedua-dua puteri tersebut.
 
Saban hari selepas pertemuan itu. Puteri Santubong dan Sejinjang bertemu hendak menyatakan hasrat hati masing-masing. Namun hasrat yang dinyatakan adalah sama iaitu, kedua-duanya mencintai Putera Serapi. Sejak itu mereka bermusuhan dan bercemburuan antara satu sama lain. Dengan kesaktian kedua-dua puteri mereka bergaduh berhari-hari tanpa henti. Sejinjang mengatakan bahawa dia lebih cantik, manakala Santubong menyatakan dia lebih jelita. Dengan marahnya Sejinjang lalu mencapai aluk, lalu di hayun di pipi Puteri Santubong yang kini kita dapat lihat lengkuk di gunung. Hanya kekuatan terakhir Santubong lalu menikam belida di kepala Sejinjang. Akhirnya kedua-dua puteri tersungkur kesakitan. Kemudian kilat sambung menyambung serta guruh berdentuman, lalu cahaya terang dari langit mengangkat kedua-dua puteri. Sumpahan kayangan terus menjadikan Puteri Santubong menjadi gunung manakala Sejinjang menjadi Pulau Kera yang berteraburan. Putera Serapi pulang kesedihan terus menghilangkan diri di sebuah gunung yang kini dikenali sebagai Gunung Serapi..




Lagu Puteri Santubong Puteri Sejinjang

Oh……
Puteri Santubong,
Sejinjang sayang,
Kisah lama, Zaman mensia maya.

Puteri Santubong, Puteri Sejinjang,
Penjaga gunung Negeri Sarawak,
Manis sik ada dapat dilawan,
Anak dak Dewa turun kayangan.

Oh……
Santubong puteri bertenun kain malam,
Oh……
Sejinjang puteri menumbuk padi siang.

Satu hari nya dua kelahi,
Beranuk anuk sik renti-renti,
Seorang madah dirik bagus agik,
Seorang sik ngalah walau sampai ke mati.

Udah lejuk nya duak kelahi,
Lalu bertukuk nya duak puteri,
Sejinjang mengayun aluk ke pipi,
Tebik Santubong sampai gituk ari.

Tapi Santubong membalas juak,
Lalu ditikam batang belidak,
Sampei terkena Sejinjang kepala,
Lalu bertabor jadi Pulo Kera.

Kisah Santubong, kisah Sejinjang,
Asal berkawan jadi musuhan,
Kinik tuk tinggal jadi kenangan,
Pakei ingatan sepanjang zaman.


Versi adaptasi Bahasa Melayu

Puteri santubung puteri sejinjang
penjaga gunung negeri sarawak
manis tiada dapat dilawan
anaklah dewa dari kayangan

Suatu hari mereka kelahi
sebab cemburu di dalam hati
terlupa pada segala janji
rela bertarung sehingga mati

Kisah santubung kisah sejinjang
asal berkawan jadi musuhan
kini tinggal jadi kenangan
untuk ingatan sepanjang zaman

ooo..santubung puteri
menenun kain..malam
ooo..sejinjang puteri
menumbuk padi..siang

Mahsuri


 Mahsuri binti Pandak Maya merupakan seorang gadis kelahiran Pulau Langkawi. Beliau dilahirkan oleh pasangan Pandak Maya dan Mak Andam pada penghujung kurun ke-18 Masihi di Kampung Ulu Melaka, Langkawi. Mahsuri turut digelar sebagai Puteri Mahsuri dan dengan jolokan Puteri Langkawi.
Kehidupan dan sejarah Mahsuri telah dilitupi lagenda pulau tersebut yang sememangnya terkenal dengan lagenda dan kisah rakyatnya. Kisah yang paling popular tentang kehidupan beliau adalah ketika saat akhir sebelum beliau dibunuh yang hingga kini dijadikan sebagai bahan untuk persembahan teater bangsawan hinggalah kepada cerita kanak-kanak.


Menurut anggaran, kehidupan awal Mahsuri adalah ketika Langkawi di bawah pemerintahan Sultan Abdullah Mukarram Shah III (1778-1797) dan Sultan Ziyauddin Mukarram Shah II ibni al-Marhum Sultan Muhammad Jiwa Zainal Azilin Muadzam Shah (1797-1803) iaitu ketika Pandak Maya baru sahaja berhijrah ke Langkawi.

Dikhabarkan bahawa pasangan Pandak Maya dan Mak Andam (ada menyatakan nama ibunya adalah Mak Endah Alang) datang dari Siam. Pandak Maya boleh dikatakan sabagai orang yang berada di Langkawi kerana mempunyai tanah sawah yang luas dan terlibat dengan perniagaan sarang Burung Layang-layang Padi.
Kelahiran Mahsuri turut dibayangi lagenda apabila sesetengah masyarakat percaya bahawa selepas ibunya (yang tidak pernah mempunyai anak) memakan kerak nasi yang dijumpai di sawah, akhirnya mengandung dan melahirkan seorang anak perempuan bernama Mahsuri. Kehidupan Mahsuri dikhabarkan adalah seperti anak gadis Melayu yang lain yang diasuh dengan tatasusila dan kesantunan masyarakat Melayu. Walau bagaimanapun, dikatakan kejelitaan Mahsuri membawa kepada buah mulut dan kecemburuan masyarakat setempat terutamanya di kalangan kaum wanita.

Mahsuri dikahwinkan dengan seorang pemuda dan pahlawan tempatan iaitu Wan Derus, salah seorang anak kepada wakil Sultan di Langkawi, Wah Yahya (atau dengan gelaran Datuk Pekerma Jaya) dan Wan Mahura.


Fitnah
Ketika pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II ibni al-Marhum Sultan Ziyauddin Mukarram Shah (1803-1843), hubungan Kedah-Siam menjadi keruh. Mahsuri hamil ketika Wan Derus keluar dari Langkawi (tidak diketahui tujuannya tetapi sumber menyatakan beliau berperang dengan tentera Siam di Kuala Kedah). Sepeninggalan beliau, Mahsuri dikhabarkan tinggal bersama ibu bapanya. Ketika waktu tersebut, Deramang, seorang penyair kembara (sesetengah sumber mengatakan beliau peniaga) singgah di Langkawi. Kebolehannya menambat hati penduduk Langkawi lalu dengan ehsan ibu bapa Mahsuri, Deramang tinggal di rumahnya untuk mengajarkan syair dan dendang.
Kepandaian Deramang dalam bersyair menaikkan nama Mahsuri sebagai tuan rumah dan menimbulkan kecemburuan Wan Mahura, ibu mertuanya sebagai isteri pembesar pulau Langkawi. Kelahiran anak Mahsuri, Wan Hakim, mencetuskan fitnah apabila Wan Mahura menuduh Mahsuri bermukah (melakukan hubungan sulit) dengan Deramang.
Atas sebab itu, Mahsuri dan Deramang ditahan dan dijatuhkan hukuman bunuh oleh bapa mertuanya sendiri setelah termakan hasutan isterinya. Tanpa menunggu Wan Derus pulang, Mahsuri dan Deramang di bawa ke Padang Matsirat, pusat Langkawi ketika itu, untuk dijatuhkan hukuman. Mahsuri diikat di sebuah batang pokok dan ditikam dengan tombak. Menurut lagenda, tombak yang digunakan tidak dapat menembusi tubuh Mahsuri. Akibat terseksa,Mahsuri mendedahkan bahawa dia hanya dapat ditikam dengan tombak sakti (terdapat pihak yang menyatakan bahawa senjata itu adalah keris) yang terdapat di alang rumahnya.
Kata-kata terakhir Mahsuri amatlah masyhur apabila ia seringkali diulang dalam mana-mana persembahan. Ayat-ayat terakhir Mahsuri adalah berupa sumpahan untuk tidak menghalalkan darahnya jatuh ke bumi kerana beliau mangsa fitnah dan mengutuk pulau Langkawi untuk tidak tenteram dan permai ibarat padang jarak padang tekukur selama tujuh keturunan.
Walaupun dipujuk dan dirayu ibu bapa Mahsuri, hukuman tetap dijalankan dan Mahsuri dibunuh tanpa dosa yang dituduh. Menurut lagenda, Mahsuri mengalirkan darah berwarna putih hanya kerana kata-katanya yang tidak menghalalkan darahnya jatuh ke bumi. Deramang turut dibunuh kemudiannya walaupun bertindak ganas. Mahsuri dikebumikan oleh ibu bapanya bersebelahan dengan harta tebusan yang ingin digunakan untuk menebusnya. Mahsuri dikatakan meninggal pada tahun 1819 Masihi bersamaan 1235 Hijrah.

Sumpahan Mahsuri

Seminggu selepas Mahsuri dibunuh, Wan Derus pulang setelah Kedah gagal menewaskan Siam. Selepas mengetahui akan hakikat tentang isterinya, dia kecewa lalu membawa anaknya, Wan Mat Arus keluar dari Siam. Sejurus itu, tentera Siam menyerang pulau tersebut. Langkawi hancur dan hangus.
Datuk Pekerma Jaya melarikan diri bersama bersama orang kuatnya, Panglima Hitam. Malangnya, Datuk Pekerma Jaya ditangkap oleh tentera Siam di Sungai Langkanah dan diseksa serta dibunuh dengan kejam. Begitu juga dengan Wan Mahura yang dirogol dan disiksa tentera Siam. Anak mereka, Wan Muhamad Ali bergegas pulang dari Pulau Pinang untuk membalas dendam. Kejayaannya mendorong sultan melantiknya sebagai pengganti ayahnya. Walau bagaimanapun, pulau Langkawi tidak pernah makmur kerana kegiatan lanun dan jenayah yang teruk.

Penutup Sumpahan

Sebelum 1980-an, Langkawi memang tidak makmur hinggakan orang mengatakan yang kerbau lebih banyak berbanding manusia di sana. Ketika Tunku Abdul Rahman masih menjadi pegawai daerah, Tunku sentiasa melawat Langkawi tetapi tiada siapa yang tahu di mana tempat pengkebumian Mahsuri. Maka, Tunku mencari sehingga menemui sebuah kubur yang tersembunyi lalu dibinakan sebuah makam, yang dikenali sebagai Makam Mahsuri.

Menjelang 1980-an, Langkawi menjadi lebih makmur (satu daripadanya disebabkan kedatangan pekerja untuk membina makam Mahsuri). Ada yang menyatakan kemakmuran itu disebabkan lahirnya keturunan ketujuh Mahsuri (ada yang mengatakan kelapan) menamatkan segala sumpahan Mahsuri ke atas pulau Langkawi. Keturunan ketujuh Mahsuri iaitu Sirintra Yayee atau Nong May atau nama Melayunya, Wan Aishah Wan Nawawi menetap di Kampung Kemala, Phuket, Thailand ketika pertama kali dijejaki.
Wan Aishah

Lagu MAHSURI (Kumpulan Crash)


Resah hatiku ingin bersama mu mengalaminya

Di lembah ini aku berdiri seolah terasa 


Darah putih mengalir menyembah bumi yang suci

Sumpahan mu mengajar erti keadilan

Wahai puteriku semadilah engkau di pusara mu

Wahai puteriku ku lafazkan doa buat mu di sana 



Darah putih mengalir menyembah bumi yang suci

Sumpahan mu mengajar erti keadilan

Wahai puteriku semadilah engkau di pusara mu

Wahai puteriku ku lafazkan doa buat mu di sana 


Darah putih mengalir menyembah bumi yang suci

Sumpahan mu mengajar erti keadilan

Wahai puteriku semadilah engkau di pusara mu

Wahai puteriku ku lafazkan doa buat mu di sana 


Wahai puteriku ku taburkan doa dengan air mata

Wahai puteriku semadilah engkau di pusara mu

Wahai puteriku ku lafazkan doa buat mu di sana

Hang Tuah


Hang Tuah ialah seorang pahlawan legenda berbangsa Melayu pada masa pemerintahan Kesultanan Melaka di abad ke-15 (Kesultanan Melayu Melaka) bermula pada 1400-1511 A.D. )[1] Menurut rekod sejarah, beliau lahir di Kampung Sungai Duyong, Melaka kira-kira dalam tahun 1444 A.D. Bapanya bernama Hang Mahmud manakala ibunya pula ialah Dang Merdu Wati. Bapanya juga pernah menjadi hulubalang istana yang handal suatu ketika dulu, begitulah juga ibunya yang merupakan keturunan dayang di istana. Hang Tuah ialah Laksamana yang terkenal dengan kesetiaannya kepada Raja dan merupakan petarung silat yang amat handal dan tiada tolok bandingnya.

Hang Tuah dan empat orang kawannya: Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu menuntut ilmu bersama Adiputra di Gunung Ledang. Selesai menuntut ilmu, mereka berlima kembali ke kota Melaka.

Pada suatu hari, mereka berjaya menyelamatkan Dato' Bendahara (iaitu Perdana Menteri) daripada seorang lelaki yang sedang mengamok. Dato' Bendahara kagum dengan ketangkasan mereka dan menjemput mereka semua ke rumahnya dan seterusnya mengambil mereka untuk bertugas di istana.

Sejak itu Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya amat disayangi oleh Sultan hinggalah Hang Tuah mendapat gelar Laksamana. Semasa mengiringi Sultan Melaka ke Majapahit di tanah Jawa, Hang Tuah telah berjaya membunuh seorang pendekar Jawa bernama Taming Sari. Dalam pertarungan itu Taming Sari, seorang pendekar yang kebal yang tidak dapat dilukakan. Tetapi Hang Tuah mengetahui bahawa kekebalan Taming Sari terletak pada kerisnya. Oleh itu Hang Tuah berjaya merampas keris berkenaan dan membunuh Taming Sari. Keris itu kemudiannya dianugerahkan oleh Betara Majapahit kepada Hang Tuah. Pemilik keris ini akan turut menjadi kebal seperti pendekar Jawa Taming Sari.[perlu rujukan]

Hang Tuah telah diutuskan ke Pahang bagi mendapatkan Tun Teja untuk dijadikan permaisuri Sultan Melaka. Ketika Hang Tuah ke Pahang, Melor turun dari Gunung Ledang mencari Hang Tuah. Melor telah ditawan oleh Tun Ali atas hasutan Patih Karma Vijaya bagi dijadikan gundik Sultan. Atas muslihat Tun Ali juga, Hang Tuah yang kembali dari Pahang akhirnya dapat berjumpa Melor, tetapi Sultan juga turut menyaksikan perbuatan Hang Tuah itu. Melor dan Hang Tuah dihukum bunuh kerana difitnah berzina dengan Melor yang telah menjadi gundik Sultan. Namun, hukuman mati tidak dilaksanakan oleh Bendahara sebaliknya Hang Tuah disembunyikannya di sebuah hutan di Hulu Melaka.

Hang Jebat telah dilantik oleh Sultan menjadi Laksamana menggantikan Hang Tuah dan keris Taming Sari telah dianugerahkan kepada Hang Jebat. Hang Jebat sebagai sahabat karib Hang Tuah, menyangka bahawa Hang Tuah telah teraniaya dan telah menjalani hukuman mati. Hang Jebat (menurut Hikayat Hang Tuah) atau Hang Kasturi (menurut Sejarah Melayu), bertindak derhaka kepada Sultan dan mengambil alih istana. Tidak ada pendekar atau panglima di Melaka yang dapat menentang Hang Jebat (atau Hang Kasturi) yang telah menjadi kebal kerana adanya keris Taming Sari di tangannya.

Sultan Mahmud terpaksa melarikan diri dan berlindung di rumah Bendahara. Pada masa itu baginda baru menyesal kerana membunuh Hang Tuah yang tidak bersalah. Inilah masanya Bendahara memberitahu yang Hang Tuah masih hidup. Hang Tuah kemudiannya telah dipanggil pulang dan dititahkan membunuh Hang Jebat. Setelah tujuh hari bertarung, Hang Tuah akhirnya berjaya merampas semula Taming Sarinya daripada Hang Jebat dan membunuhnya.

Dalam pertarungan yang sedih ini, Hang Jebat telah cuba membela sahabatnya yang telah difitnah. Namun begitu, Hang Tuah telah membantu sultan yang sebelum itu menghukumnya tanpa sebarang alasan. Sedangkan Abu Bakar Siddiq R.A juga berkata kepada orang Muslim bahawa jika dia bersalah, rakyat boleh menjatuhkannya. Ternyata, kesilapan Hang Tuah yang tidak berfikir bahawa Allah S.W.T lebih berkuasa dari sultan dan memang tidak salah Hang Jebat cuba menegakkan kebenaran. Tragedi ini masih menjadi perbalahan orang melayu sampai sekarang.

Namun begitu, ada juga yang menyokong Hang Tuah. Ini kerana Hang Jebat bukan saja derhaka kepada sultan bahkan telah membunuh ramai orang/rakyat Melaka yang tidak berdosa dengan mengamuk di dalam istana dan seluruh Melaka. Tindakan Hang Tuah yang membunuh Hang Jebat mungkin satu tindakan yang berupa hukuman mati terhadap pembunuh.

Kata-kata keramat yang dituturkan dari Hang Tuah ialah "Takkan Melayu hilang di dunia" yang bererti suku Melayu tidak akan punah di bumi ini.